Rabu, 9 Oktober 2013

PENGALAMAN SEWAKTU MENGERJAKAN UMRAH

BERKONGSI PENGALAMAN IBADAH UMRAH MAC 2013




Anugerah4me

Setahun kebelakangan ini, hati bagai dipanggil-panggil untuk pergi mengerjakan ibadah di Baitullah.  Apabila K. Su menyuarakan rasa hati, suami nampaknya agak keberatan untuk pergi.  Suami seakan mengingatkan K.Su supaya tidak mengambil ringan dengan “Nawaitu” yang telah diterbitkan dihati.  Namun K. Su bertekad, buat keputusan; tanpa atau dengan suami K. Su aku akan tetap dengan “panggilan” tu.  Sebulan sebelum tarikh sebenar, akhirnya suami tewas dan bersetuju bersama-sama dengan K. Su; bergegas buat passport, buat medical check up.  Tapi dari segi ibadah suami lebih baik dari K. Su (Dari segi solat malam nya yang lebih kerap dari K. Su.  Sebagai persdianan diri agar ALLAh menerima segala ibadah K. Su di Tanah Suci nanti, K. Su lebih mendekati diri kepadaNYA, memperbanyakkan tasbih, memperkerapkan solat malam, solat sunat, solat hajat dan memperkhatamkan Al Quran sebelum berlepas ke Tanah Suci,  ALHAMDULLILLAH….

Maka, Ziarah Umrah & Ibadah K. Su dan suami Ke Kota Madinah & Kota Mekah bermula sedari 17hb April 2013 hingga ke 28hb April 2013.  Untuk menjadikan sebagai pedoman, ikhtibar, ingatan dan panduan, K. Su cuba sedaya upaya menulis yang terbaik walaupun K.Su bukan seorang penulis, bagi menggambarkan betapa besarnya kurniaan & pemberian tuhan kepada K. Su dan suami.  Seakan begitu dekatnya ALLAh ketika K. Su berada disana.

Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai JB
 
17hb Mac 2013; Subuh hari membersihkan diri, mandi sunat musafir, solat subuh.  Jam 9:00pagi K. Su mengerjakan solat dhuha.  Belum pun sempat menanggalkan telekong, ibubapa, ipar duai, mak mertua tiba untuk sama-sama bersiap sedia menghantar kami ke Lapangan Terbang.  Abah membaca doa selamat bagi kami berdua.  Setelah bersalaman dan bermaafan kami mula berkumpul dan bertolak ke “Airport”.  Masing-masing tidak melepaskan peluang untuk mengiringi pemergian kami ke Tanah Suci.  Dalam tempoh menunggu tibanya masa untuk kebalai perlepasan, satu peristiwa berlaku dimana salah satu keluarga jemaah tidak dapat meneruskan penerbangan atas alasan permohonan visa tidak diluluskan.  Suasana agak kecoh kerana beg telah pun siap untuk dibawa.  Hati kecil berkata nampaknya “Allah tidak mengizinkan beliau turut serta dalam perjalanan kali ini” itu saja.

Dipendekkan cerita, penerbangan berlepas lebih kurang jam 5 petang..hati berdebar-debar.

Berkata gak..macam mana agaknya disana nanti.  Sentiasa berharap agar ALLAh terima segala ibadah K. Su disana.  Apakah agaknya dugaan yang akan diberikan kepada insan yang kehidupannya dikelilingi dengan perkara-perkara yang mudah untuk menjadi dosa seperti mengumpat, mengata, membohong, berpura (politik ke?), pergaulan dalam kehidupan harian.  Aduh K. Su memang tak mampu untuk menjauhinya selain dari berISTIFAR didalam hati… Selain bertasbih, bagi menenangkan fikiran, K. Su akan membaca buku doa ibadah umrah yang dibekalkan oleh ejen tavel.  Takut-takut terlupa walaupun dah berulang kali K. Su telaah.  Untuk pengetahuan pembaca, buku doa ini diberikan satu kepada setiap jemaah.  Malangnya buku suami termasuk pulak kedalam beg anak dan tertinggallah dirumah emak manakala buku K. Su yang dibaca didalam kapalterbang ini pula, tertinggal pulak didalam poket kerusi kapal terbang. Aduh….YA ALLAh ingat memang la ingat…tapi ..tapi apa sih…ntah la….berserah kepada ALLAh.!  Kehendaknya…

Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah

Setelah berada didalam pesawat selama 9 jam tanpa henti maka pada jam 9mlm pesawat K. Su selamat mendarat dilapangan terbang Jeddah.  ALHAMDULLILLAH.  Dengan segera K. Su dan suami mengerjakan solat jamak, sunat dan sebagainya.  Sementara menunggu bas yang tak kunjung tiba (bas terlewat tiba pulak)..Satu lagi berita tergempar apabila diberitahu secara rasminya, mutawif yang dijadualkan bersama kumpulan kita tidak dapat bersama atas alasan permohonan visa tidak diluluskan.  Aduh….persoalan dikepala saya.  Macamana ni? Saper nak pandu ibadah ni?  Ya ALLAH ya tuhan…kenapa..mengapa…ASTAGHFIRULLAH… Kemudian muncul lah seorang mutawiff sementara/ganti bernama “Ustaz Kamarul” memberi sedikit ceramah dan motivasi selain dari menasihatkan agar jemaah berbanyak-banyak bersabar menghadapi apa jua dugaan yang mendatang lebih-lebih lagi di Kota Mekah, Masjidil Haram.
Jam 2pagi bas yang dinanti tiba….saya dan suami termasuk dalam kumpulan jemaah yang kedua..Bas pun mula membawa kami ke destinasi kami iaitu Madinah.  Perjalanan mengambil masa selama 6 jam.  Kami berhenti makan disatu persinggahan, ntah lupa pulak nama tempat tu… Makan nasi ayam katanya..tapi tengok macam nasi minyak…Sedap…..Setiba di Hotel Mohd Nor jemaah terus makan dan masuk ke bilik bagi mengerjakan solat kerana tidak sempat untuk solat subuh di Masjid.  Kemudian kami berehat dan membersihkan diri bersedia untuk memulakan ibadah di Masjid Nabawi, Madinah.  Jam 10pagi saya dan suami mula bergerak ke Masjid Nabawi untuk solat Tahiyatul masjid, solat dhuha sebelum meneruskan solat Zohor secara bersendirian tanpa Mutawiff!

Pengalaman-Pengalaman Di Masjid Nabawi

Permandangan di Masjid Nabawi sukar untuk dilafazkan dengan kata-kata: tapi K. Su kategorikan sungguh nyaman, suasana sbegitu yahdu, nikmat kedamaian memang dirasai.  ALLAhuakbar.  Biasanya K. Su akan berpisah dengan suami untuk solat wajib dan berjanji untuk bertemu di tiang payung berdekatan bilik air No8.  Untuk julung kalinya K. Su masuk kedalam masjid, dengan bercucuran air mata, K. Su bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki ke tanah haram Madinah dengan selamat.  Dalam masjid K. Su mencari tempat duduk sehingga tak perasan pulak K. Su duduk betul-betul dibahagian bawah kubah.  Setelah solat sunat tahiyatul masjid, sunat hajat dan sunat taubat, K. Su bertasbih dan membaca Al-Quran.  Sewaktu membaca Al-Quran, airmata K. Su tak dapat ditahan, berterusan bercucuran seperti paip yang tak boleh ditutup, SEBAK.  Amat terharu, bimbang dan masih berharap agar ALLAh akan menerima segala ibadah dan permudahkan segala urusan K. Su disini dan disana.

Banyak peristiwa yang berlaku kepada kami berdua.  Yang paling penting K. Su tanankam dalam diri agar kita hendaklah selalu bersangka baik tehadap ALLAh taala.  Oleh itu K. Su membuat kesimpulan dan mengganggap bahawa semua peristiwa yang akan K. Su wawarkan ini adalah kerana Allah sangat-sangat memberi perhatian kepada hambanya….WALLAHUALAM….

1)    Kasut baru….beli di Malaysia cantik tapi agak besar sedikit.  Pasang tapak.  Hati berkata: kalau ader orang nak ambil kasut ni pun tak aper….Kira sedekah la…Tup tup….lepas solat nak ambil kasut ..hilang dengan kantungnya sekali.  Beli selipar baru je laa….  Tapi memang K. Su nak tinggalkan kasut tu di sana.

2)    Cubaan pertama ke Raudhah.  Oleh kerana tidak bergerak secara berkumpulan, maka jadual sebenar dan tempat sebenar Raudah, Taman Syurga yang menjadi idaman masih tidak dapat K. Su kunjungi.  Rasa macam Siti Hajar pulak bila berlari dari pintu 15 ke pintu 25 dengan berkaki ayam…Lepas tu tak dapat masuk sebab bawa kamera…Menangis laa apa lagik….Uwaa Uwaaaaaa

3)    Cubaan Kedua, Dapat masuk walaupun keadaan berasak-asak…Dapat solat sunat solat hajat dan berdoa….Menangis jugak tapi menangis pasal dapat masuk…ALHAMDULLILAH

4)    Seorang wanita berasal dari Terengganu, hilang arah dan mencari anaknya…Dia meminta tolong untuk dihantar ke hotelnya.  K. Su dan suami membantunya dengan menelefon talian yang tertera ditag yang tergantung dilehernya.  Oleh kerana terasa amat lapar kami tergesa-gesa meninggalkannya di tiang berdekatan bilik air nombor 8 (tolong separuh ikhlas la tu agaknya)

5)    Petang hari yang sama, secara tiba-tiba kaki suami mengalami masalah, tidak dapat berjalan, sakit apabila jejak kelantai…K. Su ni berkebolehan mengurut, maka kebolehan mengurut K. Su gunakan, malah selepas mengurut K. Su memapah suami pulang kehotel.  Laluan balik kehotel melalui pharmasi, kami berhenti di pharmasi dan membeli tongkat bagi memudahkan jalan ke hotel.  Beberapa orang dari kumpulan kami yang berada diluar hotel, termasuk ustaz terkejut melihat keadaan suami saya; malah ustaz telah menyarankan agar ibadah di Mekah harus menggunakan kereta sorong…SUBHANALLAH..Apa dah jadi ni?? Kami berdua muhasabah diri, mungkin balasan dari menolong orang separuh ikhlas!!!

6)    Malam tiba, K. Su melihat wajah suami amat tertekan…Seorang jemaah wanita dari kumpulan kami dengan nada terkilan menyuarakan betapa teringinnya beliau untuk ke Raudhah.  Beliau gagal untuk masuk ke Raudhah.  Hati K. Su berdetik, ini bermakna K. Su punya peluang dan teman…”Peluang” memenuhi hasrat jemaah ini dan “teman” untuk K. Su bergerak tanpa suami.  Tanpa membuang masa K. Su terus mengajak beliau mengikut K. Su ke Raudah untuk kali kedua dengan dua tujuan iaitu membantu kakak ini memenuhi hajatnya dan ingin memohon kepada ALLAh taala agar menyembuhkan sakit kaki suami K. Su, kerana esok hari kami akan berangkat ke Mekah untuk mengerjakan ibadah besar, umrah untukNYA.. 

7)    Dengan pantas dan ringkas, K. Su dapat membawa kakak itu kedalam kawasan Raudhah.  Malah K. Su mendapatkan beliau kawasan untuk mengerjakan solat bersama K. Su dengan izin NYA.  Dengan linangan airmata K. Su berdoa dan memohon kepada ALLAH, “Ya ALLAh, sembuhkan lah sakit kaki suami ku agar dapat dia membawa ku melakukan ibadah besar buat MU”.  Jam 12 tengah malam kami mula keluar dari kawasan Raudhah dan berjalan pulang ke hotel dengan perlahan.  Rasa penat selepas bergerak pantas kini baru terasa dan belum hilang…Tiba dibilik K. Su lihat suami sudah tidur, mahu urutkan kaki takut beliau tersedar…K. Su buka jubah dan telekong, tukar baju dan terus tidur.

8)    Subuh hari K. Su saran kepada suami agar cuba berjalan dilantai tanpa tongkat.  ALHAMDULLILLAH, SUBHANALLAH…suami boleh berjalan tanpa rasa sakit…Ya ALLAh engkau telah makbulkan doa aku yang ini…..ALLAHUAHKBAR!!!  Apabila kami turun kebawah ustaz terkejut lagi…Hai kaki baik pulak! Boelh jalan dah! Kuasa ALLAh dan semuanya berlaku atas kehendak ALLAh…

9)    Satu hari diperkarangan Masjid Nabawi semasa K. Su berseorangan menunggu suami ditempat yang dijanjikan duduk disalah satu tiang payung bersendirian, tiba-tiba seorang wanita pertengahan umur bertongkat menghampiri dan duduk disebelah kanan.  Sakit kaki agaknya.  Hati kecil berdetik untuk mengurut kakinya.  “Urut kaki dia la…mudah-mudahan boleh solat tanpa tongkat”.  Sementara memandang dan menunggu wanita itu duduk (belum sempat menyempurnakan niat), datang seorang lagi wanita bertongkat duduk betul disebelah kanan saya juga.  Hati berkata lagi “Kalau urut dua orang ni sempat tak habis sebelum laki aku tiba?” Masih memerhatikan kedua-dua wanita ini….Masih belum sempat pun niat dillaksanakan….datang wanita ke3 juga bertongkat duduk disebelah kiri saya pula. Begitu juga wanita ke4. Alamak apahal ni.  Lain macam ajer…. belum buat apa-apa pun hanya niat ajer ni…Datang wanita ke5 berbadan agak tinggi, besar, bertongkat, berdiri dihadapan saya berbahasa arab dan berisyarat ingin duduk ditempat saya.  Apa lagi tanpa membuang masa dan tak menjawab, saya bangun, beralih ke satu tiang payung lain pula.  Cuma hati masih berkata “Maaf semua kerana tak dapat nak urutkan kamu, takut tak sempat urut semua akan ader yang kecik hati" Maka berlalulah K. Su perlahan sambil hati berkata-kata juga "Kenapa rmaai sangat yang sakit kaki datang ni.  Lain macam je ni”.  WALLAHUALAM

10) …Tiba-tiba sorang perempuan merintih kesakitan sambil memegang perutnya.  Kali ni hati K. Su berkata, “Tadi nak tolong orang sakit kaki...jadi ramai sangat..Hah yang ini kena tolong.”  Apalagi K. Su pun memberi isyarat meminta izin untuk memegang dan mengurut perut wanita itu.  Maka process pemulihan pun bermula.  Dalam masa 5 minit, suara sakit semakin menghilang (mungkin sakit berkurangan) tetapi pada masa yang sama, matanya merenung tepat pada mata K. Su.  “Kenapa dia ni tenung aku ni?  “Ah aku bukan aniaya orang…” Hati kecil memujuk diri.  Setelah proses selesai, dengan tanda isyarat K. Su bertanya “Ok tak sekarang?”  Dengan alunan tangannya meraut muka K. Su sambil menyebut “SYUKRAN SYUKRAN”..Dalam hati kecil saper dia ni?

11) Salah satu masa yang lain pula….sambil menanti kehadiran suami keluar dari bahagian lelaki, K. Su berdiri di sisi wanita tua berkerusi roda.  K. Su bukan lah orang yang peramah.  Maka mustahil la untuk K.Su memulakan segala perbualan.  Tiba-tiba wanita ini menyentuh K. Su dan hanya untuk memberi isyarat kepada wajah K. Su “NUR NUR”  Hah apa pulak ni?  Ada apa kat muka aku?  K. Su cuma menjawab balas “SYUKRAN SYUKRAN” ALHAMDULLILLAH!  WALLAHUALAM…

12) Juga satu masa yang lain semasa menanti suami ditempat yang dijanji…satu keluarga Pakistan..sang isteri berhijab, 2 anak perempuan, 3 anak lelaki.  Bapa datang berdekatan dengan K.Su membentangkan sejadah.  Anak lelaki tua membuka Al-Quran.  Anak perempuan mungkin nombor 3 mula membaca.  Keluarga hafiz Al-Quran rupanya…Kemudian anak lelaki paling kecil sekitar usia 4-5 tahun pula membaca …ALLAHUAKBAR…..daripada berdiri tegak K. Su terus duduk bersila untuk mendapatkan pahala dengan memperdengarkan bacaaan-bacaan suci Al-Quran dari anak-anak keluarga Pakistan ini….SUBHANALLAH!

13) Satu masa yang lain dimana K. Su terlewat sedikit untuk mengejar waktu solat..maka terpaksalah duduk diperkarangan masjid.  Duduk disebelah perempuan tua yang sangat daif..Warna pakaian agak kelabu dan ditambah dengan sudut-sudut terkoyak.   Macam biasa K. Su membaca Al-Quran dan berzikir…Tak sampai dihati duduk disebelah insan yang beribadah dalam keadaan sedemikian.  Dengan ikhlasnya K. Su menghulurkannya Riyal5.  Alangkah gembiranya dia sehingga dia asyik memandang kepada wajah K. Su dan mengucap “SYUKRAN SYUKRAN”.  Dan memaksa K. Su agar menzirah dia di alamat kad yang ditunjukkan.  Tak berani pula mengiku hajatnya..Paling penting, walau tak sebanyak mana yang diberi tapi K. Su merasa puas hati bila tengok dia merasa sangatttt gembira….AMIN

14) Satu masa lain di Masjid Nabawi juga…akibat menyinggah membeli barang sebelum kemasjid K. Su dihalang oleh penjaga2 mesjid wanita arab dari masuk untuk solat didalam masjid…Apalagi duduklah bersila kat luar perkarangan masjid…Macam biasa membaca Al-Quran dan betasbih…Seorang budak perempuan kecil sekitar 7-8 tahun memerhatikan K. Su.  Semakin lama semakin hampir duduk disebelah K. Su.  Nampak sangat dia berminat untuk menggunakan tasbih ditangan K. Su.  Tasbih tu saguhati yang diberi oleh pekedai kerana membeli barangan dikedainya…K. Su hulur padanya tapi hanya untuk dipinjamkan. “Pandai ke baca?” “Pandai” “Apa yang ente baca?”  “SUBHANALLAH…”

 
Mula check out hotel di Madinah jam 5ptg…Masa perjalanan dari Madinah ke Mekkah lebih kurang 6 jam.  Jadual untuk melakukan umrah wajib tengah malam. Bermula dengan miqat di Bir Ali lalu berkumandanglah talbiyah menyahut panggilan ILAHI…Labaikallah Hummalabaik, Labaikala syarikalabaik, Inal hamda wanikmata lakawalmulku la syari ka lak…..Perasaan sebak apabila terlihat Masjidil Haram yang tersergam indah, ALLAhu RABBI betul ke aku sudah hampir di Masjidil Haram?

ALLAHUAKBAR….SUBHANALLAH..….ALHAMDULLILAH…..Debaran hati semakin kencang….YA ALLAh…..aku berada ditanah sucimu…..Kami diturunkan dihadapan hotel dan diarahkan untuk makan malam dahulu sebelum masuk kebilik bagi mempersiapkan diri untuk memulakan tawaf pertama iaitu tawaf wajib.  Dari jam 1:30pagi hingga 3:30pagi selesailah UMRAH WAJIB kami tanpa panduan mutawif…Bagi memenuhi masa K. Su mengerjakan solat-solat sunat, sola hajat, bertasbih dan membaca Al Quran sehingga ke waktu Suboh.


Pengalaman-Pengalaman Di Masjidil Haram

1)    Selipar hilang pulak…Sebab hati dah berdetik …”Janganlah selipar aku hilang lagi”…Memang hilang…..Ramai jemaah tercari-cari selipar dan kasut mereka…..Rupernyer 2-3 orang budak kecil sekitar usia 6-7 tahun buat projek kumbah kasut jemaah dari rak kasut..Pilih yang cantik….Kebas ….Berlaku depan mata K. Su sendiri…Kelihatan sekumpulan Jemaah Malaysia mula marah dengan kejadian yang berlaku diMasjidil Haram.

2)    Kejadian ke2 apabila masuk waktu Maghrib kami berdua pun berjalan menuju ke Masjid dimana sepanjang perjalanan penjaja barangan sibuk mencari pelanggan. Suami membeli tasbih yang berharga Riyal 10 tapi malangnya duit Riyal kurang 1 Riyal.  K. Su mengambil duit dari beg sandang tetapi tidak menutupnya semula.  Rupanya situasi ini diperhatikan oleh penyeluk saku wanita.  Bila kami mula berjalan, wanita ini menghimpit dgn bersuara TARIQ TARIQ seolah ingin kan laluan…rupernya dalam masa yang sama dompet K. Su telah pun di tarik keluar dan telah bertukar tangan ke seorang lagi penyeluk saku yang telah pun menunggu dijalanan…Walaupun K. Su dapat menahan salah seorang dari dua wanita itu.. dia dgn segera mengaku bahawa ditangannya tidak ada apa-apa mahupun dompet…Sungguh terkilan…K. Su kehilangan wang lebih kurang dalam RM700.00.

3)    Dalam keadaan sedih dan kesal, dik kerana 1 Riyal saya kehilangan RM700.00.  K. Su cuba memujuk hati agar reda dgn apa yang berlaku…Kesedihan berlanjutan sehingga ke malam hari.  Apa yang berlaku setrusnya?  K. Su bermimpi didatangi seorang lelaki umpama raja atau seseorang yang tinggi darjatnya didalam masjid yang sangat cantik beceracakkan 3 batang tiang emas …Bertanya lembut seakan memujuk kepada K. Su “Kenapa ni?” “Beg sayaaaa”…..sayu sambil menunjuk kearah beg sandang K. Su tu.  Dalam masa yang sama, K. Su terperasan jubah hitam yang dipakai oleh lelaki itu adalah kain kaabah bersulam emas. Ya…KAIN KAABAH!  Dia seperti ingin menyatakan sesuatu tetapi K. Su telah dikejutkan oleh suami untuk bersiap sedia ke solat subuh.

4)    Dalam keadaan sebak dari kejadian semalam, keesokan harinya, segala ibadah K. Su dipermudahkan.  K. Su melakukan tawaf sunat bersama suami dimana K. Su dapat mencium dan berdoa di sekitar dinding & penjuru kaabah.  Malah dapat mengerjakan solat sunat dan hajat serta bedoa dihijir ismail.  Manakala Tawaf sunat yang kedua pula sekali lagi dapat berada, solat dan berdoa dihijir ismail serta Rukun Yamani.  ALHAMDULLILAH!  Malah tasbih yang dibeli masih digunakan untuk berzikir sehingga hari ini.  Jumlah manik 100 biji sentiasa bermain dijari jariK. Su.

5)    Cuba untuk solat disatu syaf kosong tapi dihalau oleh perempuan muda Arab/Pakistan dengan kasar bebahasa Inggeris aabila K. Su mula duduk…”You must go. Go now!”  K. Su agak marah tetapi tetap bangun dan beredar malah sempat menyebut “HARAM” kerana K. SU tidah meredhai perlakuan sebegitu.  Keesokan hari, ditempat lain agak jauh, K. Su bertemu semula degnan perempuan muda ni, beliau cuba masuk ke syaf K. Su sewaktu tangan mula hendak mengangkat takbir…K. Su cuba memberi ruang satu syaf, tapi beliau hendak 3 syaf..bermakna beliau menghalau K. Su dan jemaah lain yang terdahulu.  Dengan sombongnya dia berkata ”You go now!”  Wah kali ini K. Su mempertahankan hak K. SU.  Apalagi K. Su terus menjawab “You go, it’s not me.  This is my place!” sambil mata merenung antara satu sama lain. Macam dalam cerita cowboy. Tapi ni cowgirl.  Dalam hati teringat pula kisah Nabi Muhammmad dibaling batu ketika solat namun ia tetap tidak beganjak…Akhirnya perempuan muda ala arab tu mengalah dan mangambil ruang satu syaf itu.  K. Su pun meneruskan solat Maghrib yang diganggu tadi.  Sudah lah datang lewat…sudah diberi tempat, sombong pulak, sebaliknya kita pula yang dihalaunya…Apabila selesai solat, K. Su dapati sekumpulan rakan2 perempuan muda ini datang berdiri bersebelahan lokasi K. Su, macam biasa K. Su meneruskan membaca Al-Quran dengan kuat..Dan akhirnya semua beredar dari lokasi itu.

6)    Selepas solat maghrib seperti biasa K.Su mengerjakan solat sunat, solat hajat, solat taubat, berzikir dan membaca quran, seorang jemaah ala arab disebelah K. Su secara tiba-tiba tidak dapat bergerak dik disebabkan bahagian lututnya sakit…Walhal tadi beliau solat berdiri seperti biasa.  Macam biasa juga...takkan la orang sakit disebelah kita buat tak nampak.  K. Su pun mula menggunakan kemahiran anugerah ilahi untuk meringankan beban kesakitannya.  Dengan izin ALLAh taala sakitnya berkurangan. ALHAMDULILLAH…

7)    Seorang wanita muda yang sedang mengandung, sangat cantik rupanya berketurunan Arab agaknya.  Duduk bertentangan kiblat iaitu ia mengadap kearah K. Su.  Mula menggelisah, kepanasan agaknya, tangan nya mula menyelak-nyelak leher baju dan mula merengus panas.  Dalam hati K. Su “Takkan dah nak bersalin kot”.  Sememangnya K. Su sentiasa membawa sebotol air didalam beg sandang K. Su sebagai bekalan.  Apalagi K. Su pun memberi air botol tu kepadanya dan memberi isyarat agar air diminun, disapu kemuka, leher dan dadanya.  ALHAMDULLILAH dia pulih sihat dan selesa.  Syukran Syukran untuk K. Su lagi.

8)    Pada satu petang K. Su teringin sangat memberi makan pada merpati-merpati yang berada dipersikataran Masjid.  Dapat lah juga berdiri disekitaran kekawanan merpati-merpati tu.  Seekor kucing ala sopan cuba menangkap merpati yang kelihatan jinak tapi sukar didekati tu. Lucu jugak. Bila balik ke bilik pula, agak lewat petang aderla 2-3 ekor merpati bermain ditepi tingkap bilik K. Su.  K. Su campakkan roti ala burger panjang yang masih disimpan dalam peti sejuk.  Cakap jugak dengan merpati tu “Nak makan makan la, kalau tak nak makan tak pe. Biar je la kat situ”  He he macam la merpati tu buleh cakap balik!

9)    Akhir sekali, dari kejadian-kejadian biasa kepada yang luar biasa, disini ingin K. Su nyatakan betapa ALLAh taala sangat2 memberi perhatian kepada K. Su.  Untuk makluman pembaca K. Su sering bersendirian tetapi lain pula jika dirumah kalau boleh K. Su tidak suka ditinggalkan keseorangan oleh suami.  Apakan daya suami memang agak sibuk dan selalu tiada dirumah so, apa yang berlaku pada kali ini amat K. Su syukuri.  Mungkin kerana kesabaran K. Su atau ntah apa agaknya, ALLAh memberi kurnian yang tak terjemah oleh sesiapapun sebagai manusia biasa. 

     Lebih kurang jam 10 malam suami keluar bersama Hj Zul, K. Su cuba tidor.  Lampu yang ditutup oleh suami menyebabakn bilik menjadi sangat2 gelap  Tambahan pula K. Su akan terjaga walaupun sedikit cahaya masuk melalui celah pintu. Oleh kerana K. Su dah berada atas katil dan malas nak bangun semula, sumai lah menutup dan terus keluar.  Lebih kurang jam 12 malam atau lebih, K. Su tersedar dan dalam keadaan yang tersangat mengantuk, antara sedar dan tidak…sesuatu telah berada dan menerangi bilik K. Su yang mulanya gelap.  Yang mana cahaya nya agak berlainan, bukan lampu..siapa pula yang buka lampu sedangakan suami belum balik lagi.  Cahaya yang sangat terang, putih dan silau untuk dipandang terus.  Ini menyebabkan mata hanya boleh dibuka sedikit sahaja.  Dalam masa yang sama K. Su merasa teramat takut yang tidak pernah dirasai. Dalam keadaan mengiring ke kanan (masa tu nak tidur badan memang mengiring kekanan) K. Su cuba bangun kerana terasa ada kepala yang sedang berada dihujung kaki K. Su seakan sujud juga keadaannya.  Hanya sebahagian dari badannya berada didalam bilik iaitu mencecah hujung katil satu lagi (katil suami bed split).  “Apa benda ni? Ya ALLAh apa benda ni?” Sambil mulut tak henti-henti menyebut nama ALLAh, K. Su cuba dengan perlahan-lahan menarik kaki (merengkotkan badan) takut-takut bila bergerak secara mendadak akan membuat “benda” tu tersentak!  K. Su telah melihat seperti satu gerakan putih terang dan menyilau, sangat besar, bergerak perlahan melebarkan sayapnya, merangkul ke tepi katil suami K. Su (split bed)…”Ya ALLAh dia bergerak jugak!”  Dengan keadaan masih mengiring ke kanan, K. Su cuba pula menarik kain selimut kerana perasaan takut menjadi lebih takut.  Cuba bangun sedikit, menarik selimut untuk menutup badan dan muka…Selimut dapat ditarik setakat kebahagian dada sahaja, “Alamak kenapa selimut ni tersangkut lak?” Apalagi tangan terus meraba-raba apa sahaja yang boleh menutup muka.  Bantal peluk kecik jadi mangsa, apalagi K. Su terus menutup muka agar terlindung.  Sambil hati berharap-harap agar suami masuk kebilik ketika itu juga.  Menyesal kerana K. Su tidak memesan agar suami balik segera…Dalam hati “Habislah aku, "DIA" duduk kat situ sampai pagi”.  Dalam keadaan katakutan yang teramat sangat akhirnya K. Su terlelap sendiri sehingga pagi.  Pagi hari, suami bertanya "Kenapa malam tadi I tengok you tidor merengkot bawah selimut dengan begitu rupa sekali….???" K. Su jawab “Bilik kita semalam penuh sangat, terang pulak tu…ada benda, cahaya ntah apa laa dah masuk dalam bilik ni…Takut betul laa”  suami tersenyum.  Hatinya berkata “Aku tidak mendapat apa yang isteri aku dapat” Hanya ALLAh sahaja yang tahu apakah "benda" itu.  "Sinaran" apakah itu.  Adalah anugerah untuk K. Su!


Lapangan Terbang Jeddah, Mekah 

10:00 malam, Tiba dilapangan terbang Jeddah …Gerimis…Sejuk sehingga ketulang sum sum.  Minum chocolate panas cecah biskut keras….Bawa air ke kerusi…dalam pukul 12:00mlm.  Dua perempuan bertelekong putih duduk disebelah K. Su.  Salah seorang daripada perempuan itu, iaitu perempuan yang paling tua menurunkan beg yang sepatutnya dibawah jagaan K. Su (beg orang) dan memberi isyarat supaya air Chocolate K. Su dialihkan juga.  Macam biasa K. Su turutkan tapi masih diam tak berkata.  Tangan masih memegang kitab membaca sura2 tebaik.  Badan K. Su pusingkan menggambarkan K. Su tidak mahu diganggu.  Tiba-tiba perempuan tua ni mencuit dan menghulurkan tangan untuk bersalam “ASSALAMUALAIKOM” dia memulakan bicara malam.  Dari dialognya dia adalah seornagn perempuan Indonesia/Malaysia.  Sepanjang perbualan dia banyak membicarakan tentang ibadah.  Tentang beruntungnya jemaah yang mendapat Hidayah dan betapa ruginya jemaah yang tidak mendapat hidayah.  Dia telah memberikan petua-petua ubatan tradisional bagi berusaha untuk mendapatkan zuriat…K. Su raser pelik…Hati bertanya; dia ni tahu ker aku boleh mengurut?..”Ibu..saya ni tukang urut BU….Yang ibu bicarakan tu seperti satu pemberian/ilmu buat saya..  Makanya saya mahu catitkan dalam buku nota saya ni..Boleh ulang sekali lagi BU…” Dia mengulangi semula dengan lebih terperinci tentang ramuan ubatan tradisional itu.  AMIN.  Selesai ilmu diberikan, dia pun bergegas pergi atas alasan pesawat sudah mahu terbang sedangkan kapalterbang malam itu hanya pesawat kita.  "Pelik juga tapi biarlah"...K. Su beranggapan semuanya adalah anugerah ALLAH taala yang mana "DIA" akan memberikan apa sahaja yang dikehendaki kepada hamba yang dikehendakinya juga.  Sebelum berpisah, perempuan ini bersalam dan memeluk erat pada K. Su, seolah-olah beliau memang pernah mengenali K. Su dan perpisahan diakhiri dengan ”ASSALAMUALAIKOM”..semoga ketemu lagi.

Sekembali dari Ibadah Umrah

Sehari selepas tiba di tanah air...deringan talipon berbunyi kerana ingin berurut.  Malang sekali kepenatan beribadah hanya terasa bila telah menjejakkan kai ditanah air.  Terpaksa menolak.  Namun demikian, pelanggan dan pendapatan menjadi berganda2 iaitu lebih baik dari sebelum melakukan ibadah "di sana" seperti yang berlaku di masjidil nabawi..niat untuk menolong seorang digandakan menjadi dua, niat menolong orang dari dua digandakan menjadi empat....ianya tetap dibalas...  walaupun sekadar niat...Tetapi biarlah IKHLAS.
 
Samada percaya atau tidak, sewaktu kami tinggal di Mekah selama 8 hari, tidak pernah telinga kami didengarkan bunyi jentera yang sentiasa menjalankan "construction work". Bila kami memuji "Bagus lah JVC dia orang, boleh bawa ke Malaysia.  Senyap betul buat kerja",muka kepelikan ditunjukkan kepada kami.   Rupernya orang lain mendakwa bahawa bunyi bising telah menyebabkan mereka tidak dapat tidur dengan lena.  Kami hanya menyedari keadaan sebenar apabila makcik saudara yang pergi mengerjakan umrah pada bulan berikutnyer mendakwa bunyi yang bising mengganggu kegiatan harian.  Sedangkan kami dapat melakukan ibadah dengan sempurna dalam keadaan "kedengaran sunyi" selain azan berkumandang ditelinga kami.   WALLAHUALAM.....


Tiada ulasan:

Catat Ulasan